Sunday, 24 March 2013

Karangan: Sambutan Maulidur Rasul


Tajuk: Ceritakan pengalaman kamu menghadiri Sambutan Maulidur Rasul di sekolah.

                Pada hari Jumaat yang lalu, sekolahku telah mengadakan Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1434 Hijrah. Majlis tersebut diadakan di dewan tertutup sekolahku.
                Aku memakai jubah yang berwarna coklat yang digosok pagi tadi. Setelah memakai pakaian, aku solat Subuh berjemaah dengan ayahku. Kemudian, aku sarapan lalu menuju ke arah kereta untuk ke sekolah.
                Setibanya di sekolah, semua murid diminta untuk berkumpul di dataran kejat untuk mendengar taklimat ringkas tentang atur cara majlis. Selepas itu, Ustaz Hamid mengarahkan semua murid untuk bergerak ke dewan tertutup mengikut kelas.
                Sebaik sahaja murid-murid melangkah masuk ke dalam dewan, suasana yang sunyi bertukar menjadi hiruk-pikuk dengan suara murid yang berbual antara satu sama lain. Dengan tidak semena-mena suasana yang bising kembali sunyi.
                Pengacara majlis atau nama timangannya yang dipanggil Cikgu Hafiza bersura kerana suara murid mengganggu perbincangan antara guru lain. Selepas itu, pengacara majlis menyuruh murid-murid agar berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad.
                Kemudian, pengacara majlis menjemput  seorang murid perempuan untuk membaca ayat-ayat suci Al-quran. Selepas beberapa minit, bacaan ayat Al-quran tamat. Seterusnya dijemput seorang murid lelaki darjah empat untuk menghafaz surah yang dihafaz sebelum ini.
                Pengacara majlis meminta agar murid bertenang dan senyap. Suasana yang bising beransur menjadi senyap. Tanpa membuang masa, pengacara mempersilakan kumpulan nasyid lelaki bagi menyampaikan nasyid.
                Dua orang murid lelaki yang menyanyi secara solo itu menyanyi dengan merdu dan penuh semangat. Setelah tamat nyanyian nasyid daripada sekumpulan murid lelaki, keadaan di dalam dewan tertutup dipenuhi dengan suara murid yang bising bagai murai tercabut ekor.
                Selain itu, majlis diserikan lagi dengan persembahan bercerita oleh pelajar perempuan Tahun 3. Selepas itu, acara kemuncak bagi Majlis Sambutan Maulidur Rasul iaitu penyampaian Anugerah Tokoh Murid pada tahun 2013. Tokoh murid perempuan dan lelaki diarak dari dataran kejat hingga ke dewan tertutup diiringi oleh ibu bapa masing-masing dan paluan kompang.
                Setibanya di dewan tertutup, tokoh murid lelaki dan perempuan itu duduk di atas pentas. Pengacara majlis membaca biodata bagi kedua-dua tokoh murid tersebut. Ibu kepada tokoh murid lelaki dan perempuan menyarungkan selempang. Mereka menerima hadiah saguhati dan sekeping not RM50.
                Kemudian, semua murid Tahap 1 keluar dari dewan tertutup untuk rehat. Ketika murid Tahap 1 rehat di kantin, seorang penceramah lelaki datang ke sekolahku untuk memberikan ceramah yang bertajuk 5 Keistimewaan Rasulullah. Beliau menyampaikan ceramah selama satu jam setengah. Ketika beliau sedang berceramah, beliau menyelitkan unsur-unsur kelakar supaya murid tidak bosan.
                Selepas murid Tahapi 1 selesai rehat, mereka diarahkan ke surau untuk menonton video manakala murid Tahap 2 beratur untuk mengambil minuman dan makanan. Setelah mengangkat dulang dan membasuh cawan, semua murid dibenarkan pulang.
                Akhir sekali, aku berasa gembira kerana dapat menghadiri majlis ilmu. Selain mendapat pahala, kami boleh belajar berdikari dan juga boleh mengeratkan silaturahim dalam menjayakan program pada hari itu.

Oleh: Siti Nur’aina Syafiqah Binti Izirwan
Kelas: 6 Orkid

No comments:

Post a Comment