Friday, 24 May 2013

Kata Ganda - Indahnya Bahasa Melayu


sara-bara : kacau-bilau, kelam-kabut, tidak keruan
kesap-kesip : kedip-kedip, kelip-kelip (mata)
serak seruk : bunyi spt bunyi orang menggosok lantai dll.
golek-gelantang : berbaring-baring
inca-binca : kacau-bilau, tidak tentu hala
culang-caling: tidak keruan, tidak teratur
polang-paling: berpusing-pusing dan berubah-ubah arahnya (bkn angin)
piat-piut: anak cucu atau keturunan yg sudah terlalu jauh
bongkar-bangkir : kacau-bilau, cerai-berai
robak-rabik : koyak-koyak, sangat robek (tikar, permaidani, dll)
pincang-pincung : incung tidak teratur (perjalanannya)
terkodek-kodek : tergerak-gerak (dgn pantasnya), terloncat-loncat
termangu-mangu: termenung-menung (kerana susah hati, bingung, dll)
terolang-aling : terayun-ayun atau tergoyang-goyang
terkocoh-ganyah: tergopoh-gopoh, terburu-buru, tergesa-gesa
beberat : benda berat yg dilemparkan atau diangkat sbg senaman olahraga
kekandi : pundi-pundi, kantung
tetebeng : bahagian tepi terendak yg lebar
kekaki : alas atau tapak drpd konkrit dsb tempat berdirinya sesuatu, spt patung, tiang dsb
gegancu: gerigi pd roda yg berkait pd rangkaian rantai atau lubang-lubang pd filem, kertas dsb

Thursday, 2 May 2013

Akhiri karangan: ….. Aku berasa kecewa. Walaupun gagal, aku tidak akan berputus asa.

                   Aku tinggal di sebuah kampung terpencil. Kehidupanku seharian bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Setiap pagi, aku bangun awal dan bersiap sedia untuk ke sekolah. Perjalanan dari rumah ke sekolah tidak berapa jauh. Aku sering berbasikal ke sekolah.
                Pukul 6.00 pagi lagi aku sudah berada di kelas. Terdapat segelintir pelajar yang sudah berada di kelas. Aku seorang yang suka membuang masa. Masa yang ada diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Aku duduk di sisi rakanku. Kami mula berbual kosong. Apabila loceng sudah berbunyi, barulah kami turun ke dataran kejat untuk perhimpunan pagi.
                Selesai perhimpunan, kami bergerak menuju ke kelas. Puan Arifa masuk agak lambat. Aku dan rakanku mula berbual tanpa mengendahkan arahan ketua darjah. Kelas menjadi sepi tatkala Puan Arifa melangkah masuk. Dia mula mengajar. Aku langsung tidak menumpukan perhatian kepada pengajarannya, sebaliknya bergurau bersama rakanku.  Begitu juga pelajaran seterusnya.
               Tiba sahaja waktu rehat, aku pergi ke kantin untuk membeli makanan. Selepas itu, aku terus makan di bawah sepohon pokok yang rendang. Rehat berlalu. Beberapa jam menimba ilmu, aku pulang ke rumah. Sampai sahaja di hadapan pintu, aku memberi salam.  Ibu meluru ke arah pintu yang terbuka sambil menjawab salam. Aku melangkah ke arah bilik.
               Seusai makan tengah hari, aku terus berlalu pergi tanpa membasuh pinggan yang kotor. Sisa-sisa makanan juga dibiarkan dipenuhi lalat. Aku langsung tidak ada semangat untuk mengemasnya. Apabila ditegur, barulah aku membersihkannya. Aku duduk di atas sofa. Pantas sahaja tanganku menekan punat alat kawalan jauh. Dari tengah hari hingga ke petang, aku asyik menghadap televisyen tanpa membelek buku sedikit pun.
               Puas diri ini ditegur ibu dan guru, namun semuanya bagai masuk telinga kiri, keluar telinga kanan. Aku tidak mendengar nasihat mereka. Akan tetapi, aku sering dileteri ibu akan sikapku yang malas. Aku masih mengambil mudah tentang tarikh UPSR yang semakin hampir. Aku tetap dengan sikap sambil lewa dan tidak ambil peduliku itu. Kegagalan insan-insan lain tidakku jadikan iktibar. Malah aku memperlekehkan mereka.
               Saban hari, aku sering keluar bermain bersama rakan-rakaku di sebuah lombong. Tegahan dan larangan ibu supaya tidak bermain di situ tidak dipedulikan. Aku tetap berlegar-legar di kawasan lombong, sehinggalah suatu hari aku terjatuh di situ. Rakanku memapah aku pulang ke rumah. Ibu membuntangkan mata melihat kakiku yang berlumuran darah.
              Aku dikejarkan ke hospital. Aku diberi rawatan dan terpaksa tinggal di hospital sekian lama. Rakan sekelas datang menziarahiku. Mereka membawa buah tangan, buku-buku latihan dan sebagainya. Aku mula diselubungi perasaan menyesal. Nasihat ibu terngiang-ngiang di telinga.
              UPSR tinggal sebulan. Masa semakin suntuk. Setiap hari, aku tidur lewat. Kesihatanku terganggu. Mukaku pucat bagai ayam berak kapur. Rakan-rakan dan guru-guruku datang memberi sokongan. Aku berasa sebak. Penyesalan ini sudah tidak berguna lagi. Keputusan yang berada di tanganku mengecewakan keluargaku. Aku berasa kecewa. Walaupun gagal, aku tidak akan berputus asa.

Oleh: Arisya Nur Batrisyia Binti Aszrul Erwan
Kelas: 6 Orkid